ADAB MENUNTUT ILMU 6
5. BANYAKKAN ZIKRULLAH –
Pastikan kita sentiasa solat lima waktu secara berjemaah dan mengamalkan wirid
serta doa selepas solat walaupun ringkas kerana ulama’ sufi begitu menitik
beratkan perkara wirid ini kerana ia boleh menghidupkan hati yang mati
dan ia juga boleh mendatangkan perasaan ingin memusabahkan diri dengan amalan
seharian. Tanpa wirid yang ma’thur selepas solat boleh menyebabkan
perasaan zikrullah agak berkurangan dan ia boleh mendatangkan perasaan
memudahkan segala kewajipan yang telah diperintahkan oleh Rabbul ‘Izzati.
Jangan ajar diri kita melengah-lengahkan solat lima waktu kerana ia akhirnya
mampu membawa diri kita ke arah mengabaikan solat. Bacalah Al-Quran
sekurang-kurangnya sehelai setiap hari kerana ia merupakan ibu segala
ubat. Hidupkan amalan-amalan sunat dalam setiap gerak kerja kita seharian
kerana hidup yang sentiasa dihiasi dengannya akan sentiasa diberkati dan
diredhai oleh Allah dan makhluk-Nya.
6. MENJAGA KEHORMATAN- Kita wajib
menjaga kehormatan diri sendiri dan juga orang lain. Tutup segala ke'aiban diri
dan orang lain kerana ia membawa kepada keredhaan Allah dan manusia lain kepada
diri kita.Hanya orang yang mana kehidupannya dicucuri dengan keredhaan dan
rahmat Allah sahaja yang mampu merasakan kebahagian di dalam kehidupan
seharian. Manakala mereka yang jauh daripada rahmat Allah, hidup mereka
dipenuhi dengan perkara yang kurang baik dan derita. Jangan sekali-kali menyakiti
hati orang lain kerana doa orang yang dizalimi adalah lebih bahaya daripada
panah malam.Firman Allah dalam ayat 12 surah Al-Hujurat yang bermaksud : Wahai
orang-orang yang beriman! jauhilah kebanyakan perasaan prasangka, sesungguhnya
sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari
kesalahan orang lain dan janganlah pula sebahagian kamu mengumpat sebahagian
yang lain. Adakah salah seorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya
yang telah mati?. Maka sudah tentu kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah
kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha
Penyayang.
7. DOA DAN KEREDHAAN
IBUBAPA- Kita hendaklah sentiasa menjaga perasaan kedua ibubapa kita dan
menghormati mereka dalam perkara yang tidak menyalahi syariat Islam. Sentiasa
berhubung dengan mereka dan mengambil berat tentang keadaan keduanya serta
mendoakan kebahagian mereka di dunia dan akhirat. Kita juga hendaklah sentiasa
meminta agar mereka meredhai kita dan mendoakan kejayaan kita. Ingatlah bahawa keredhaan
Allah bergantung kepada keredhaan ibubapa terhadap kita. Firman Allah dalam
ayat 23 hingga 24 surah al-Isra' yang bermaksud : Dan Tuhanmu telah
memerintahkan supaya kamu tidak menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat
baik kepada kedua ibubapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang daripada
keduanya ataupun kedua-duanya telah lanjut usia mereka dalam jagaan kamu, maka
jangan sekali-kali kamu mengherdik kepada keduanya dengan perkataan
"uf" dan janganlah kamu menghertak mereka dan ucapkanlah kepada
mereka perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua
dengan penuh kasih sayang dan ucaplah : " Wahai Tuhanku! kasihanilah
mereka berdua sebagaimana mereka berdua telah mendidikku semasa kecil".
8. MENGHORMATI GURU- Kita juga
wajib menghormati guru dan mematuhi segala arahannya selagi mana tidak
menyalahi kehendak Islam. Kita mesti patuh kepadanya walaupun fikrah atau
pendapat kita berbeza. Kita pernah mendengar bagaimana imam As-Syafi'e walaupun
berijtihad bahawa qunut di dalam solat Subuh sunat ab'adh(kena sujud sahwi jika
tidak melakukannya) tetapi dia tidak melakukannya apabila mendirikan solat itu
berhampiran maqam gurunya imam Malik kerana menghormati gurunya. Bagaimana
dengan kita? Sesungguhnya ulama' silam begitu menitik beratkan masalah
keberkatan ilmu, sedangkan kita hari ini tidak lagi mengendahkan perkara ini.
Ini menyebabkan timbulnya pelbagai masalah terutama keruntuhan akhlak di
kalangan remaja.Guru janganlah dianggap sebagai guru di sekolah, universiti atau
di tempat pengajian sahaja tetapi kita mestilah menganggap bahawa dia pengajar
dan secara langsung sebagai pendidik yang mesti dihormati walaupun di mana
berada.Cubalah kita fikir dan renungi bersama tentang dua keadaan berbeza
antara pelajar dulu dan sekarang mengenai pandangan dan penghormatan mereka
terhadap guru. Tanpa ada keserasian dan kasih sayang yang wujud antara guru dan
pelajar tidak memungkinkan berlakunya ketenteraman dalam kehidupan
seharian.Oleh itu marilah kita sama-sama membina kembali keutuhan dan mahabbah
antara guru dan pelajar agar ia mampu menyinarkan kembali suasana harmoni serta
menghindari perkara negatif dalam kehidupan.
9. BERAMAL DENGAN SEGALA ILMU YANG
DIPEROLEHI - Kita mengamalkan segala ilmu yang dipelajari setakat mana yang
termampu oleh kita. Ulama' silam sentiasa mengingatkan kita bahawa orang yang
berilmu dan tidak beramal dengan ilmunya akan dihumban ke dalam api neraka
lebih dahulu daripada penyembah berhala. Jadikanlah ilmu yang dipelajari
sebagai benteng daripada terjerumus ke kancah maksiat dan jadikanlah juga ia
sebagai senjata di dalam mematahkan serangan musuh Islam serta jadikankanlah ia
sebagai ubat yang mujarab di dalam menyembuhkan penyakit jahil dan batil di
dalam masyarakat. Jangan jadikan ia sebagai barangan jualan untuk mengejar
kekayaan dunia yang sementara. Berapa ramaikah yang telah dihinakan oleh Allah
kerana melacurkan ilmu semata-mata untuk mengaut kemewahan dunia.Inilah
merupakan antara sebab atau punca yang menyebabkan umat Islam terus mundur.Berapa
ramaikah mereka yang belajar tentang al-Quran dan Hadis tetapi mereka dilaknat
oleh keduanya kerana tidak merealisasikan segala apa yang dipelajari.Oleh itu
kita mestilah beringat dan berhati-hati mengenai perkara ini demi kebahagian
kita di dunia yang sementara dan akhirat yang kekal selamanya. Begitu mudah
untuk memberi nasihat dan tazkirah tetapi begitu sukar untuk mengota dan
merealisasikannya dalam kehidupan. Tanpa usaha yang bersungguh- sungguh, kita
tidak mampu melaksanakannya.Samalah kita sama-sama menghayati firman Allah
dalam ayat 2 hingga 3 surah as-Sof yang bermaksud :Wahai orang-orang yang
beriman! mengapa kamu mengatakan apa yang kamu tidak kotakan? Amat besar
kebencian Allah di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu
kotakan.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar